• 26
    Soalan Lazim
  • 26
    Hubungi Kami
  • 26
    Aduan & Maklum Balas
  • 26
    Peta Laman
  • 26
    Soal Selidik
  • Utama
  • Profil
  • Piagam Pelanggan
  • Berita Maipk

Pelatih Haaza Centre of Excellence tajaan MAIPk menang Pingat Emas dalam Malaysia Culinary World Cup 2025

Tahniah diucapkan kepada Nur Adila Sazwani binti Zulkanain dan Siti Nur Izzati binti Ramli yang telah berjaya meraih Pingat Emas bagi kategori Masakan Tradisional Warisan Malaysia dalam pertandingan berprestij Malaysia Culinary World Cup 2025.

Kejayaan ini bukan sahaja mengharumkan nama negara, bahkan membuktikan bahawa anak-anak asnaf juga mampu berdiri setanding di pentas dunia apabila diberi peluang dan bimbingan yang tepat.

MAIPk amat berbangga dengan pencapaian ini dan akan terus komited dalam memperkasa golongan asnaf melalui program kemahiran bersijil yang membuka ruang kepada kerjaya berdaya saing.

Semoga kejayaan ini menjadi inspirasi kepada semua pelatih dan belia asnaf untuk terus melakar kecemerlangan dalam bidang masing-masing.




Pelajar Kemahiran Asnaf MAIPk Cemerlang di Malaysia Culinary World Cup 2025

Ipoh, 27 Jun 2025 – Seramai enam orang pelatih Program Kemahiran Asnaf MAIPk yang sedang mengikuti Kursus Penyediaan dan Pembuatan Makanan di Haaza Centre of Excellence telah menyertai Malaysia Culinary World Cup 2025 yang berlangsung di Bulatan Sultan Azlan Shah, Meru, Ipoh pada 27 hingga 29 Jun 2025.

Salah seorang peserta, Nur Shafia Irdina binti Anuar, telah berjaya meraih Pingat Perak bagi kategori Modern Western dalam pertandingan berprestij yang disertai lebih 20 negara. Kemenangan ini diharapkan menjadi pencetus semangat buat beliau untuk terus cemerlang dalam bidang kulinari.

Sebagai makluman, seramai 25 orang belia asnaf kini sedang menjalani latihan selama sembilan bulan di Haaza Centre of Excellence bagi mendapatkan Sijil Kemahiran Malaysia (SKM) Tahap 2 dalam bidang kulinari, dan dijangka menamatkan latihan pada Julai 2025.

Program Kemahiran MAIPk merupakan inisiatif strategik bagi membantu golongan belia asnaf membina laluan kerjaya yang lebih jelas. Latihan ini juga menjadi ‘jalan pintas’ kepada mereka untuk keluar daripada belenggu pengangguran dan seterusnya menjana pendapatan demi menyara kehidupan keluarga.





Hijrah itu perjuangan. Hijrah itu pembaharuan

Majlis Agama Islam dan ‘Adat Melayu Perak (MAIPk) mengucapkan Salam Maal Hijrah 1447H / 2025M kepada seluruh umat Islam.

Semoga tahun baharu ini membawa limpahan keberkatan, memperkukuh perpaduan, dan menyemarakkan iltizam dalam melestarikan ummah serta memelihara bumi yang diamanahkan.

“Hijrah dan Kelestarian: Mengukuh Ummah, Memelihara Bumi”


Sultan Nazrin Lancar ZAPAR, Tingkat Tadbir Urus dan Kutipan Zakat Negeri Perak

IPOH, 26 Jun 2025 - Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Sultan Perak Darul Ridzuan, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah hari ini berkenan menyempurnakan Majlis Pelancaran Zakat Perak Al Ridzuan (ZAPAR), sebuah entiti korporat milik penuh Majlis Agama Islam dan ‘Adat Melayu Perak (MAIPk) yang ditubuhkan bagi memperkasa sistem pungutan zakat di negeri ini.

Penubuhan ZAPAR sebagai syarikat sendirian berhad menandakan satu era baharu tata kerja urusan pungutan zakat di Perak dengan pendekatan lebih professional dan efisyen, berteraskan digitalisasi selaras dengan keperluan dan kemajuan teknologi semasa.

Langkah strategik ini diambil bagi memastikan pengurusan kutipan zakat terus ditambahbaik, dan telus untuk meningkatkan keyakinan individu Muslim (muzakki) juga sektor korporat dan perniagaan. ZAPAR akan menjadi platform utama kepada umat Islam, syarikat dan institusi korporat untuk menunaikan tanggungjawab menunaikan zakat serta menyemarakkan budaya wakaf tunai.

Pendekatan ini dijangka mampu melonjakkan kutipan zakat dan memperluaskan manfaatnya kepada golongan asnaf yang layak. ZAPAR akan menguruskan segala urusan berkaitan pungutan zakat manakala agihan zakat akan terus dikendalikan sepenuhnya oleh MAIPk. MAIPk menyeru masyarakat Islam, terutamanya di Perak untuk memberi sokongan penuh kepada ZAPAR sebagai entiti rasmi pungutan zakat negeri agar rukun Islam ketiga ini dapat dilaksanakan dengan lebih sempurna dan berkesan.

Turut hadir pada majlis ialah YAB Menteri Besar Perak, YAB Dato’ Seri Saarani bin Mohamad, Yang Dipertua MAIPk, YABhg. Tan Sri Mohd. Annuar bin Zaini, Yang Dipertua Dewan Negeri Perak, Dato' Mohammad Zahir bin Dato' Abdul Khalid, Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan (MMK) Negeri Perak, Anggota MAJLIS, Ahli Lembaga Pengarah ZAPAR, Ahli Jawatankuasa Fatwa Negeri Perak, Orang Besar Jajahan Negeri Perak, Pegawai Daerah Negeri Perak, Ketua-Ketua Jabatan Persekutuan, Negeri dan Badan Berkanun, Ahli Majlis Perundingan Masjid Negeri Perak, Pengurus Besar dan Pengurus Cawangan MAIPk, Pegawai Tadbir Agama Negeri Perak dan syarikat-syarikat korporat dan individu pembayar zakat.






MAIPk Belanja Lebih RM1.8 Juta Perkasa Asnaf dalam 5 Kursus Bidang Oil & Gas

IPOH, 22 Jun 2025 – Seramai 120 belia asnaf menyertai Program Latihan Kemahiran Asnaf MAIPk bagi lima kursus utama dalam bidang Oil & Gas, iaitu Blasting & Painting, Rigger, Scaffolding, serta Gas Pipe & Fitting. Seramai 60 peserta yang diraikan pada hari ini merupakan kumpulan kedua selepas kumpulan pertama, juga seramai 60 orang, yang telah menamatkan latihan dan kini sedang menjalani penempatan pekerjaan di Paka, Terengganu.

Inisiatif melahirkan pekerja mahir dalam kalangan asnaf ini adalah sebahagian daripada usaha strategik MAIPk bagi memperkasakan ekonomi golongan asnaf negeri Perak. Lebih RM1.8 juta telah dibelanjakan bagi melatih hampir 200 orang peserta untuk memenuhi keperluan tenaga kerja mahir dalam industri Oil & Gas.

Satu sesi inspirasi bertajuk “Mengubah Takdir dengan Tangan Sendiri” turut diadakan sebagai suntikan semangat kepada para peserta. Sesi tersebut disampaikan oleh Pengurus Besar Bahagian Pemerkasaan Asnaf, Amirudin bin Osman, yang memberikan dorongan dan motivasi kepada peserta untuk mengubah masa depan mereka selepas tamat latihan.

Majlis Perasmian Pelepasan peserta telah disempurnakan oleh Ketua Pegawai Operasi MAIPk, Wan Maizura binti Wan Zahari. Dalam ucapannya, beliau menekankan bahawa bidang TVET merupakan antara jalan utama menuju kejayaan masa hadapan. Beliau turut berkongsi kisah suka dan duka sebagai inspirasi kepada para peserta.

Turut hadir memeriahkan majlis Ketua Pegawai Eksekutif, SRC Global Resources Sdn. Bhd., YBhg. Dato’ Norhisham bin Mohd Ariffin, Pengurus Perniagaan, MARA Excellent Ventures Sdn. Bhd., Muhammad Saiful bin Mohd Khairi, dan Ketua Jabatan TVET, MARA Excellent Ventures Sdn. Bhd, Muhammad Iskandar Dzulkarnain bin Mohd Zaidi.




.
.
.
.
.
.
.
.
.
Kod QR
Scan Kod QR pada telefon pintar anda untuk versi mudah alih.
Kod QR Borang Bantuan
Scan Kod QR Borang Bantuan pada telefon pintar anda untuk versi mudah alih.
Kod QR Borang Aduan Awam
Scan Kod QR Borang Aduan Awam pada telefon pintar anda untuk versi mudah alih.